Ogos 19, 2015

Pengurusan Harta Pusaka Kecil


Definisi 'Harta Pusaka Kecil'.


Harta pusaka kecil merupakan harta peninggalan simati tanpa wasiat yang mempunyai ciri-ciri berikut :


  • Harta itu terdiri daripada Harta Tak Alih/Tanah sahaja atau Harta Tak Alih/Tanah dan Harta Alih seperti wang tunai, saham, barang kemas,  caruman KWSP, wang simpanan, kenderaan, apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67] dan sebagainya.
  • Jumlah nilaian harta keseluruhannya tidak melebihi RM 2,000,000.00 pada tarikh permohonan dibuat.



Pemohon perlu menyediakan dokumen seperti berikut :


Bukti Pemilikan Harta


  • Salinan dokumen harta alih - seperti salinan sijil saham, salinan penyata akaun, buku akaun simpanan, salinan hak milik kenderaan dan sebagainya.
  • Dokumen harta tak alih - seperti Salinan Hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah atsu Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih oleh simati atau Perjanjian Jual Beli bagi bangunan/rumah yang belum ada hakmilik berasingan.


Bukti Kematian


  • Sijil kematian/Permit menguburkan.
  • Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur. Perintah ini hsnya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.



Nota Penting


  • Semua dokumen asal bagi bukti kematian, hak milik tanah, kad pengenalan, surat nikah, surat beranak, bukti pemilikan harta alih dan lain-lain dokumen sokongan hendaklah dibawa semasa perbicaraan.
  • Semua keterangan semasa perbicaraan akan direkodkan secara bersumpah.
  • Semua pihak yang dinyatakan di dalam notis perbicaraan dikehendaki hadir pada hari perbicaraan yang ditetapkan.

Sumber rujukan : Portal Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian. 

Ogos 17, 2015

Memohon Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka

Mahkamah-Tinggi


Bagi harta pusaka dengan wasiat dan harta pusaka yang ditakrifkan sebagai harta pusaka biasa, tindakan hendaklah diambil di Mahkamah Tinggi yang berhampiran dengan alamat tempat tinggal si mati. Mahkamah Tinggi berkuasa untuk mengeluarkan probet.

Jika si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat, permohonan untuk surat kuasa mentadbir pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat. Kedua-dua tindakan ini boleh dibuat dengan petisyen dalam contoh borang seperti di Lampiran “B1” dan “B2”.

Permohonan boleh dibuat oleh pihak yang berikut:

(a) Waris si mati (benefisiari si mati) seperti balu atau duda, anak lelaki atau anak   perempuan, ibu atau bapa, adik-beradik dan sebagainya;

(b) pemiutang (creditor) seperti pemberi   pinjam wang, bank, koperasi, dsb.;

(c) pihak-pihak pembeli (purchasers) dan   pemegang serah hak, pemegang gadaian   dan pajakan yang mempunyai   kepentingan dalam harta peninggalan   si mati;

(d) waris-waris, pemegang amanah, Ketua Pengarah Insolvensi, Amanah Raya Berhad, as-Salihin Trustee Berhad dsb.; dan

(e) Pihak Berkuasa seperti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan Baitulmal yang mempunyai   kepentingan masing-masing dalam   harta pusaka yang berkenaan.

Probet ialah tindakan untuk memperakukan dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Tujuan probet adalah untuk memberi pengiktirafan kepada sesuatu wasiat yang sah di sisi undang-undang.

Khaidir Zakaria
011-3292 8711
Islamic Estate Planner
as-Salihin Trustee Berhad

Ogos 15, 2015

Panduan Pembahagian Pusaka dalam Islam


1. Apabila meningal dunia seorang bapa dan meninggalkan beberapa orang anak, lelaki dan perempuan, maka anak yang lelaki mendapat dua kali ganda anak perempuan, umpamanya kalau harta peninggalan bernilai RM 900 ribu, maka anak lelaki mendapat RM 600 ribu dan anak perempuan RM 300 ribu, (Kalau hanya anak lelaki sahaja, maka semua harta dapat kepadanya). Kalau anak lelaki tidak ada, cuma anak perempuan seorang sahaja, maka ia mendapat 1/2 dari harta dan jika anak perempuan dua orang atau lebih, maka mereka mendapat 2/3.

Rujuk Surah An-Nisa : 11

2. Ibu dan bapa masing-masing mendapat 1/6, jika si mati itu mempunyai anak. Jika si mati tidak mempunyai anak, maka ibunya mendapat 1/3. Tetapi jika si mati meninggalkan beberapa saudara, maka ibunya mendapat 1/6 juga. Semuanya itu sesudah dibayarkan segala hutang-hutangnya dan wasiat-wasiatnya si mati  kepada masjid atau fakir miskin dan sebagainya.

Rujuk Surah An-Nisa : 11

3. Kalau si mati tidak beranak maka saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa saja) mendapat 1/2, tetapi kalau saudara perempuan itu dua orang atau lebih, mereka mendapat 2/3. Dan kalau berhimpun saudara lelaki dan saudara perempuan, maka si lelaki mendapat dua kali yang di perolehi oleh perempuan.

Rujuk Surah An-Nisa : 176

4. Suami mendapat pusaka dari isterinya yang meninggal 1/2, jika isterinya itu tidak beranak. Jika mempunyai anak, maka suami mendapat 1/4. Isteri mendapat pusaka dari suaminya yang meninggal 1/4, jika suaminya itu tidak mempunyai anak. Jika ada anak, maka isteri mendapat 1/8  dari harta peninggalan. Jika si mati itu tidak beranak dan tidak juga berbapa, maka ketika itu mempusakai saudara seibu (lelaki atau perempuan). Jika ia seorang mendapat 1/6 dan jika dua orang atau lebih mereka mendapat 1/3.

Rujuk Surah An-Nisa : 12

Hubungi kami hari ini untuk maklumat dan khidmat menyediakan dokumen Wasiat yang komprehensif. 

Khaidir Zakaria, Putrajaya
011-3292 8711
Islamic Estate Planner
as-Salihin Trustee Berhad

Ogos 13, 2015

Siapa Golongan Ashab Al-Furud

Golongan ashab al-furud merupakan ahli waris yang paling utama dan didahulukan dalam pembahagian dan penerimaan harta pusaka berbanding ahli waris asabah dan dhawi al-arham. 

Ashab al-furud terdiri daripada 12 golongan iaitu suami, isteri, ibu, bapa, datuk (bapa kepada bapa), nenek (ibu kepada ibu dan ibu kepada bapa), anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan), saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu dan dan saudara lelaki seibu.

Ahli waris ashab al-furud akan menerima salah satu bahagian atau fardu berikut, iaitu 1/2, 1/4, 1/8, 1/6, 1/3, 2/3 atau 1/3 baki.  

(1) Suami menerima 1/2 jika si mati (isteri) tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah, atau 1/4 jika si mati mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah.  

(2) Isteri menerima 1/4 jika si mati (suami) tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah, atau 1/8 jika si mati mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah.  

(3) Bapa menerima 1/6 jika si mati mempunyai anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki atau ke bawah, atau 1/6 dan asabah jika si mati mempunyai anak perempuan, atau asabah jika si mati tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan), anak perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah.  

(4) Datuk (bapa kepada bapa) Kedudukan datuk sama seperti bapa, tetapi datuk tidak akan mewarisi harta pusaka selagi ada bapa kerana datuk didinding oleh bapa. Datuk akan mendapat 1/6 atau 1/6 dan asabah atau  asabah iaitu sama seperti bapa.

(5) Ibu menerima 1/6 jika si mati mempunyai anak, atau anak  perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah, atau mempunyai  beberapa orang saudara(lelaki atau perempuan); atau 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka jika si mati tidak mempunyai ahli-ahli waris tersebut di atas; atau 1/3 baki jika si  mati meninggal salah seorang suami atau isteri dan bapa tanpa  ahli waris yang lain (iaitu dalam kes Umariyyatain sahaja).  

(6) Nenek tidak akan mewarisi harta selagi mempunyai ibu. Nenek hanya mendapat 1/6 sama ada seorang atau lebih.  

(7) Anak perempuan menerima 1/2 jika seorang, 2/3 jika dua orang atau lebih atau mendapat asabah bi al-ghayr ketika bersama-sama dengan  anak lelaki. Anak lelaki mendapat dua bahagian anak perempuan.  

(8) Anak perempuan kepada anak lelaki menerima 1/2 jika seorang; 2/3 jika dua orang atau lebih, 1/6 jika bersama-sama seorang anak perempuan; mendapat asabah bi al-ghayr ketika bersama-sama dengan anak lelaki kepada anak lelaki atau terdinding oleh anak lelaki atau oleh dua orang anak perempuan, kecuali jika terdapat anak lelaki  kepada anak lelaki yang sama-sama menerima asabah bi al-ghayr.  

(9) Saudara perempuan seibu sebapa menerima 1/2 jika seorang; 2/3 jika dua orang atau lebih;  asabah bi al-ghayr ketika bersama saudara lelaki seibu sebapa; asabah ma’a al-ghayr ketika bersama-sama anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua- duanya; atau terdinding oleh anak lelaki atau cucu lelaki atau ke bawah.

Sumber rujukan : Koleksi Kertas Kerja Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008, Anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Ogos 12, 2015

Cabaran Sebagai Perunding Kewangan Islam

Dalam kehidupan seharian kita ada pelbagai cabaran, pengorbanan, masalah, kejayaan, suka-duka dan ia dalam pelbagai bentuk warna warni kehidupan.

Ini kisah tentang Cabaran sebagai Perunding Kewangan Islam.


challenge accepted



Begini-lah cerita aku.




  • Memaksa atau sesetengah orang mengelarkan 'product pushers salesman' itu bukan cara aku. Aku lebih suka berkongsi ilmu solusi dan pengalaman dengan prospeks/clients. Ya benar, ia sumber mata pencarian utama seperti aku yang bekerja sepenuh masa sebagai perunding kewangan. Dan aku memilih untuk tidak memaksa prospek untuk memilih solusi produk yang tidak sepatutnya.
  • Ada sesetengah prospek mengambil mudah tentang perkara ini - bertangguh. Barangkali ada silap pada aku yang tidak menyampaikan info dengan tepat dan jelas atau barangkali prospek memikirkan 'arggh biarlah dulu !'.
  • Tarikh mati kita itu tidak tercatat dalam kad pengenalan. Kematian itu pasti dan tidak awal atau lewat sesaat pun. Bidang kerja aku ini banyak melibatkan kisah hidup dan mati.
  • Perancangan itu penting. Gagal merancang adalah merancang untuk gagal.
  • Ustaz kata kehidupan kita bukan sekadar di dunia sahaja. Berbuat baik-lah sesama insan. Jangan menyakitkan hati, dengki, berdendam, tidak jujur, tiada kasih sayang dan sebagainya sikap yang buruk patut di jauhi. Perunding Takaful juga seorang manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan. Aku usaha untuk sabar dan istiqomah dalam menjalankan tanggung-jawab, namun adakalanya gagal.
  • Dugaan berurusan dengan manusia itu hebat. Tidak seperti mana aku berurusan dengan komputer dulu sebagai jurutera komputer. Sabar itu sangat penting. Melawan hawa nafsu itu memerlukan keberanian dan ia benar sangat mencabar.
  • Kerana duit gelap mata. Kerana duit menjadi hamba. Kerana duit maruah tergadai. Kerana duit orang puja. Kerana duit orang sanjung. Kerana duit orang saling membenci. Kerana duit orang lupa segalanya. Kerana duit juga kita bahagia-merana.
  • Takaful itu sifatnya melindungi. Faraid itu sifatnya mengagih kepada waris yang berhak untuk kebaikan dan kesejahteraan dunia-akhirat. Kedua perkara ini memerlukan perancangan. Perancangan memerlukan ilmu yang betul pada tempatnya.
  • Apa jua kerjaya memerlukan kesabaran, ilmu, kesungguhan, pengorbanan, keberanian, perancangan, kegagalan, kejayaan dan mempercayai segalanya berlaku dengan izin Allah.


Catatan ini adalah pandangan-luahan hati peribadi, ia tidak semestinya betul untuk semua orang.

Ogos 08, 2015

Kesan Melewatkan Pembahagian Harta Pusaka

Mungkin ramai yang tak sedar kesan melewatkan pengagihan harta pusaka ini boleh membawa banyak kemudaratan daripada kesenangan. 



Rata-rata respon dari org ramai semasa kami menjalankan direct-survey tentang kepentingan merancang dan mengurus agih harta pusaka adalah :


  • Saya tiada harta
  • Saya ... belum nak mati
  • Dah ada Faraid tak perlu Wasiat-lahh
  • Nanti dulu, bukan sekarang sebab saya belum bersedia lagi
  • Saya dah bagi awal2 semua harta saya pada anak-anak
  • Anak-anak saya semua dah besar, pandai-pandai-lah mereka cari harta sendiri
  • Saya banyak hutang !


Demi-masa


Diantara Kesan Melewatkan Pembahagian Harta Pusaka adalah :



  • Hutang si mati tidak di jelaskan kerana tiada siapa yang tahu rekod hutang si mati.
  • Waris menguasai harta si mati secara batil / haram kerana mengambil hak waris yang lain sesuka hati tanpa persetujuan semua waris yang berhak. 
  • Dokumen hilang, tiada maklumat yang sah dan jelas dan ini memboleh mendorong kepada keterangan palsu
  • Bilangan waris semakin bertambah, tiada sesiapa yang mengambil tanggung jawab menguruskan.
  • Keluarga berpecah belah, mungkin bertambah teruk masing2 mengambil sikap lepas tangan.
  • Akhirnya harta si mati tidak di uruskan, aset beku, pertukaran geran tanah bermasalah dan masalah lain timbul berterusan. 

Ogos 06, 2015

Wasiat Jemaah Haji Malaysia

Sampaikan Mesej Penting Ini Kepada Bakal Jemaah Haji Yang Anda Sayangi. 



Kepada individu atau jemaah haji Malaysia (Kursus Haji Perdana khususnya) yang memerlukan khidmat menyediakan dokumen Wasiat, Hibah atau Harta Sepencarian yang komprehensif sila hubungi kami untuk khidmat nasihat.

Jemaah Haji Malaysia
Jemaah Haji


Menyediakan dokumen Wasiat tidak semestinya untuk menunggu musibah berlaku, ia satu persediaan awal untuk hari esok kerana ajal dan maut Allah lebih mengetahui.

Ramai yang salah anggap, menyediakan dokumen wasiat perlu ada harta berjuta-juta atau berbillion ringgit contohnya.

Dua perkara penting yang perlu kita ambil perhatian apabila berlaku kematian dan kaedah pengurusan harta pusaka;


  • Pentadbiran
  • Pengagihan (Faraid)



wasiat hibah haji dan Umrah 400px x 400px

Point penting adalah menguruskan - mentadbir hutang-hutang diri sendiri (pewasiat). Kita semua pasti tidak mahu pergi ke alam seterusnya dengan amalan yang kurang cantik. Dengan menyediakan dokumen wasiat sebagai perancangan awal ia dapat membantu sedikit sebanyak agihan harta kita. Dapat dilunaskan hutang, selebihnya jika ada baki baru-lah di agihkan kepada waris sama ada mengikut hukum faraid, pesanan-wasiat ataupun secara muafakat.

Mesej ini bukan sahaja hanya di tujukan kepada mereka yang hendak menunaikan haji atau umrah sahaja. 

Kepada mereka yang beragama Islam, berkemampuan, sihat mental, dah baligh dan mahu berpesan-pesan kepada ahli keluarga terutamanya juga boleh menyediakan dokumen wasiat.

Verbal atau cakap mulut sahaja tidak memadai masa kini. Semuanya mesti dalam bentuk bertulis mengikut rukun dan mematuhi undang-undang.

Kepada jemaah Haji Umrah Malaysia, bertindak-lah sekarang dengan membuat persiapan awal menyediakan dokumen perancangan harta pusaka ! 

" Ya Allah, permudahkanlah urusanku, janganlah Engkau susahkan, semoga segala urusanku berakhir dengan baik. "

Ogos 05, 2015

Tanggung Jawab Waris Terhadap Harta Pusaka Si Mati

FARAID kaedah terbaik dalam pembahagian harta pusaka dalam Islam. 





Sebaik sahaja selepas berlaku kematian seseorang dan sebelum harta pusakanya dibahagikan mengikut hukum faraid, waris-waris bertanggungjawab untuk menyelesaikan beberapa hak yang berkaitan dengan harta si mati iaitu:

1. Belanja Pengurusan Jenazah 
Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk segala urusan yang berkaitan pengurusan jenazah yang diiktiraf oleh syarak. Perbelanjaan ini boleh diambil daripada harta si mati termasuklah pembelian peralatan kafan, keranda, upah memandikan jenazah, upah menggali kubur, upah membawa jenazah ke kubur sama ada dengan cara diusung atau dibawa dengan kereta jenazah dan sebagainya.

2. Menyelesaikan Hutang Si Mati (jika ada) 
Setelah pengurusan jenazah disempurnakan, maka hendaklah dilunaskan pula segala hutang si mati. Hutang dibahagikan kepada dua kategori iaitu hutang kepada Allah S.W.T. dan hutang kepada manusia. 

3. Menyelesaikan Tuntutan Harta Sepencarian 
Mengikut amalan di Malaysia, setelah menyelesaikan hutang-hutang si mati, suami atau isteri si mati boleh menuntut pembahagian harta sepencarian di Mahkamah Syariah negeri-negeri. Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat selepas berlaku kematian salah satu pihak sama ada suami atau isteri. Penentuan kadar harta sepencarian akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri.

4. Wasiat Si Mati (jika ada) 
Setelah diselesaikan hutang-hutang dan diputuskan pembahagian harta sepencarian, waris-waris hendaklah menunaikan wasiat jika si mati semasa hayatnya ada meninggalkan wasiat sebagaimana dalam perbincangan seterusnya.

5. Faraid 
Setelah diselesaikan semua perkara-perkara seperti di atas, barulah baki daripada harta si mati itu dibahagikan kepada ahli-ahli waris mengikut hukum faraid sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Hubungi kami hari ini untuk mengetahui bagaimana urusan perlantikan wasi dan pentadbiran Wasiat. 


Khaidir Zakaria
011-3292 8711

as-Salihin Trustee Berhad
Putrajaya

Ogos 03, 2015

Lima Keadaan Hukum Berwasiat




Apakah Hukum Berwasiat ?


Hukum berwasiat terbahagi kepada lima bahagian berdasarkan keadaan-keadaan tertentu iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Wajib: Iaitu mewasiatkan sesuatu yang wajib dalam tanggungan pewasiat sama ada ia terdiri daripada hak-hak Allah S.W.T. dan hamba seperti mengeluarkan zakat, kifarat, nazar, haji, fidyah dan puasa, menunaikan hutang terhadap pemiutang dan memulangkan barang wadi‘ah kepada tuannya. Dalam keadaan ini, membuat wasiat adalah wajib.

Sunat: Iaitu mewasiatkan harta pada jalan kebaikan dan kebajikan untuk golongan tertentu dan kaum kerabat yang tidak akan menerima harta pusaka, fakir miskin, anak angkat, orang yang dalam keperluan, orang yang berhajat, yayasan   kebajikan dan agama seperti masjid dan sebagainya.

Harus: Iaitu mewasiatkan untuk golongan tertentu termasuklah kaum kerabat yang kaya dan lain-lain.

Makruh: Iaitu mewasiatkan harta bagi tujuan yang makruh di sisi syarak seperti wasiat untuk mendirikan binaan di atas kubur.

Haram: Iaitu mewasiatkan harta kepada perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Wasiat jenis ini dianggap batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh ahli-ahli waris.

Khaidir Zakaria
as-Salihin Trustee Berhad
Putrajaya Cyberjaya