Ogos 12, 2018

Türkçe dersi di Putrajaya

Kelas Asas Bahasa Turki (Türkçe dersi) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya. 


Syukur alhamdulillah, Allah temukan aku dengan saudara Na’im Suhaimi di media social Facebook. Pertemuan itu telah menghasilkan kerjasama untuk menubuhkan Kelas Asas Bahasa Turki di Kelas Putrajaya Prihatin dengan sokongan dan kerjasama baik pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.

Tujuan penubuhan ini adalah untuk berkongsi ilmu dengan anak muda di kawasan sekitar khususnya Putrajaya dan Bangi. 

Kelas ini terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk menambah ilmu Bahasa.


Topik menyentuh bab perbualan harian. Buku latihan yang digunakan adalah İstanbul Yabancılar İçin Türkçe Ders Kitabı A1.

Selain Kelas Asas Bahasa Turki, di Kelas Putrajaya Prihatin juga ada menganjurkan Kelas Asas Bahasa Isyarat, ia diadakan sebulan sekali. 

Inisiatif dan objektif utama kelas ini ditubuhkan adalah untuk mewujudkan rasa sayangkan ilmu dalam pada masa yang sama dapat kita mengimarahkan Masjid. 

Moga ada keberkatan dan hikmah kepada peserta yang hadir menimba ilmu ini. 

Türkçe dersi di Putrajaya
Türkçe dersi di Putrajaya

Diantara perkataan yang telah kami belajar pada hari ini;


  • Merhaba / Hi 
  • Günaydın / Selamat pagi
  • Nasılsın? / Apakhabar?
  • Iyiyim / Saya sihat
  • Nerelisin? / Berasal dari mana?
  • Hoşça kal! / Selamat tinggal! / Bye
  • Güle güle / Selamat tinggal / Bye
  • Teşekkür ederim / Terima kasih
  • Senin adın ne? Siapa nama kamu?
  • Benim adım Khaidir Zakaria / Nama saya Khaidir Zakaria
  • Memnun oldum / Selamat berkenalan


Contoh Ayat Perbualan


Merhaba! Benim adim Khaidir Zakaria. Ben Malezyalıyım. Memnun oldum. 

(Hi, Nama saya Khaidir Zakaria, saya berasal dari Malaysia. Selamat berkenalan!

Siz nasılsınız?

(Apakhabar?)

Teşekkür, ederim iyiyim

(Terima kasih, saya sihat.)

Hingga kita bertemu lagi di Kelas Asas Bahasa Turki seterusnya. :)  Hoşça kal!

Ogos 07, 2018

Hibah Hartanah Bercagar

PERBINCANGAN TENTANG HIBAH HARTANAH BERCAGAR


Kampung Sesapan Kelubi, 43700 Beranang, Selangor, Malaysia
Kampung Sesapan Kelubi, Beranang


1. Oleh sebab terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang hibah hartanah bercagar, kita tidaklah boleh mendabik dada mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sepenuhnya.

2. Dakwaan yang mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sayugia dilapik dengan kenyataan bahawa ianya sah berdasarkan mazhab Maliki dan Hanafi.

3. Walau bagaimanapun hibah hartanah bercagar adalah tidak sah bagi mazhab Syafie, dan Hambali.

4. Perkara ini menjadi lebih kelabu apabila badan perundangan di negara kita juga lembab dalam menangani isu hibah ini.

5. Kita tiada contoh statut hibah untuk digunapakai di negara kita baik dalam bentuk akta mahupun enakmen.

6. Nampaknya pemimpin politik di negara kita lebih suka mencari glamour dalam isu perundangan Islam yang lain seperti Akta 355, dan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas yang terlalu komplikated teknikalitinya.

7. Saya juga tertanya-tanya apalah sangat istimewanya hibah takaful sehingga ia disebut dalam statut secara jelas, walhal hibah hartanah bercagar juga tidak kurang pentingnya.

8. Pengkanunan undang-undang dalam hal ini patut menjadi prioriti pemimpin Islam di negara kita hari ini.

9. Kita juga tidak boleh berpegang kepada keputusan mahkamah syariah semata-mata kerana nature keputusan mahkamah syariah itu tidak mengikat hakim syarie yang lain.

10. Setiap hakim syarie bebas untuk berijtihad dalam setiap kes yang dibawa di hadapan mereka, tanpa terikat dengan keputusan hakim syarie yang lain.

11. Jadi, hakim syarie adalah selama-lamanya bebas sama ada mahu mengikut mazhab yang mana yang dirasakan lebih adil kepada pihak-pihak dalam memutuskan kes di hadapan mereka, selagi tiada statut yang mengikat tangan dan kaki mereka.

12. Tidak ada konsep judicial precedent di mahkamah syariah, tidak seperti yang diamalkan di mahkamah sivil.

13. Setakat ini, para mufti di negara kita juga belum mengeluarkan apa-apa fatwa mengenai hibah hartanah bercagar bagi panduan kita.

14. Saya tidak suka mengkritik para mufti yang saya hormati.

15. Jadi, saya menyokong sebarang usaha dari mana-mana pihak supaya boleh menerangkan kepada para mufti tentang peri pentingnya fatwa mengenai perkara ini.

16. Kalau permainan Pokemon-Go pun kita ada panduan, apatah lagi tentang hibah hartanah bercagar yang pastinya lebih dan teramat penting panduannya untuk kita.

17. Dari segi pemain industri dalam bidang ini, hanya Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja yang terlebih berani mempromosikan produk hibah hartanah bercagar.

18. Alasan mereka mungkin untuk menggalakkan masyarakat muslim menggunakan produk hibah hartanah bercagar sebagai alternatif terbaik bagi solusi perancangan pusaka umat Islam.

19. Institusi-institusi lain seperti Amanah Raya Berhad, as-Salihin Trustee Berhad, MyAngkasa Amanah Berhad, dan lain-lain masih memilih untuk tidak menyediakan produk hibah hartanah bercagar.

20. Alasan mereka adalah mungkin kerana produk hibah hartanah bercagar masih mengandungi risiko untuk tidak disahkan oleh mahkamah syariah menjadikannya satu produk yang tidak berkuatkuasa.

21. Apa pun alasan mereka baik yang wujudkan produk, atau yang tidak wujudkan produk berkaitan hibah hartanah bercagar, saya amat menghormati keputusan panel-panel syarie syarikat-syarikat amanah gergasi ini.

22. Para peguam syarie sememangnya bebas untuk menyediakan dokumen tentang hibah hartanah bercagar.

23. Peguam syarie tidak perlu lancar apa-apa produk.

24. Perkhidmatan peguam syarie adalah berdasarkan arahan anakguam selepas dinasihati oleh peguam syarie.

25. Harapnya peguam syarie selepas ini boleh memberikan nasihat yang wajar kepada anakguam mereka tentang hibah hartanah bercagar.

26. Saya secara peribadi menyokong agar dokumentasi hibah hartanah bercagar ini digalakkan berdasarkan situasi masyarakat Islam akhir zaman sekarang yang boleh dikatakan tidak boleh lepas dari membuat hutang dalam membeli hartanah.

27. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu dicelikkan tentang status khilaf ulama’, dan status perundangan di negara kita sebelum hibah hartanah bercagar didokumenkan supaya pemberi dan penerima hibah benar-benar faham akan kedudukan dan kesan hibah hartanah bercagar.

28. Dalam sesuatu isu yang khilaf, saya berpendapat, kita hendaklah bertindak dan memilih pandangan ulama’ yang bersesuaian dengan keadaan masa dan juga tempat kita agar dapat mengelakkan berlaku permasalahan terutama dalam masalah harta terbeku.

29. Mungkin juga pihak institusi kewangan sebagai pemegang cagaran boleh memperkenalkan satu mekanisma berbentuk keizinan kepada pemilik harta untuk membenarkan pemilik harta/pencagar membuat perancangan dan pengurusan ke atas hartanah bercagar melalui instrument hibah.

30. Para ahli akademik, dan pendakwah hendaklah terus berjihad dalam memberi kefahaman kepada masyarakat Islam tentang kepentingan perancangan dan pengurusan harta secara adil tanpa kepentingan mana-mana pihak.

31. Pihak-pihak yang mempunyai kuasa, gunakanlah kuasa yang ada bagi mencerahkan kekelabuan isu hibah hartanah bercagar ini.

32. Kelompangan undang-undang dalam isu hibah hartanah bercagar ini perlu diatasi sesegera mungkin.

AHMAD TERMIZI ABDULLAH (Penulis)

#hibahhartanahbercagar

Nota: Tuan Ahmad Termizi Abdullah adalah salah seorang rujukan saya dalam bab Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia. Saya menghormati beliau. Post ini bertujuan untuk rekod dan rujukan pada masa hadapan.