Ogos 13, 2015

Siapa Golongan Ashab Al-Furud

Golongan ashab al-furud merupakan ahli waris yang paling utama dan didahulukan dalam pembahagian dan penerimaan harta pusaka berbanding ahli waris asabah dan dhawi al-arham. 

Ashab al-furud terdiri daripada 12 golongan iaitu suami, isteri, ibu, bapa, datuk (bapa kepada bapa), nenek (ibu kepada ibu dan ibu kepada bapa), anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan), saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu dan dan saudara lelaki seibu.

Ahli waris ashab al-furud akan menerima salah satu bahagian atau fardu berikut, iaitu 1/2, 1/4, 1/8, 1/6, 1/3, 2/3 atau 1/3 baki.  

(1) Suami menerima 1/2 jika si mati (isteri) tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah, atau 1/4 jika si mati mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah.  

(2) Isteri menerima 1/4 jika si mati (suami) tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah, atau 1/8 jika si mati mempunyai anak (lelaki atau perempuan) atau cucu ke bawah.  

(3) Bapa menerima 1/6 jika si mati mempunyai anak lelaki atau anak lelaki kepada anak lelaki atau ke bawah, atau 1/6 dan asabah jika si mati mempunyai anak perempuan, atau asabah jika si mati tidak mempunyai anak (lelaki atau perempuan), anak perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah.  

(4) Datuk (bapa kepada bapa) Kedudukan datuk sama seperti bapa, tetapi datuk tidak akan mewarisi harta pusaka selagi ada bapa kerana datuk didinding oleh bapa. Datuk akan mendapat 1/6 atau 1/6 dan asabah atau  asabah iaitu sama seperti bapa.

(5) Ibu menerima 1/6 jika si mati mempunyai anak, atau anak  perempuan kepada anak lelaki atau ke bawah, atau mempunyai  beberapa orang saudara(lelaki atau perempuan); atau 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka jika si mati tidak mempunyai ahli-ahli waris tersebut di atas; atau 1/3 baki jika si  mati meninggal salah seorang suami atau isteri dan bapa tanpa  ahli waris yang lain (iaitu dalam kes Umariyyatain sahaja).  

(6) Nenek tidak akan mewarisi harta selagi mempunyai ibu. Nenek hanya mendapat 1/6 sama ada seorang atau lebih.  

(7) Anak perempuan menerima 1/2 jika seorang, 2/3 jika dua orang atau lebih atau mendapat asabah bi al-ghayr ketika bersama-sama dengan  anak lelaki. Anak lelaki mendapat dua bahagian anak perempuan.  

(8) Anak perempuan kepada anak lelaki menerima 1/2 jika seorang; 2/3 jika dua orang atau lebih, 1/6 jika bersama-sama seorang anak perempuan; mendapat asabah bi al-ghayr ketika bersama-sama dengan anak lelaki kepada anak lelaki atau terdinding oleh anak lelaki atau oleh dua orang anak perempuan, kecuali jika terdapat anak lelaki  kepada anak lelaki yang sama-sama menerima asabah bi al-ghayr.  

(9) Saudara perempuan seibu sebapa menerima 1/2 jika seorang; 2/3 jika dua orang atau lebih;  asabah bi al-ghayr ketika bersama saudara lelaki seibu sebapa; asabah ma’a al-ghayr ketika bersama-sama anak perempuan atau anak perempuan kepada anak lelaki atau bersama kedua- duanya; atau terdinding oleh anak lelaki atau cucu lelaki atau ke bawah.

Sumber rujukan : Koleksi Kertas Kerja Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008, Anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Tiada ulasan: