Jun 22, 2014

Hibah dan Wasiat

APA ITU HIBAH & WASIAT ?



Kenapa Perlu Buat Wasiat ?


Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah, manakala wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat.

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih-lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.


Rukun Hibah dan Syaratnya



Pemberi Hibah

Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.


Penerima Hibah

Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.


Barang atau harta yang dihibahkan


Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
  • Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
  • Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
  • Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
  • Ia boleh diserah milikkan.
  • Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.
  • Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.


Ijab dan Qabul


Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
  • Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
  • Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
  • Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.
***

Dari segi bahasa, wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati. Dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak.


Rukun dan Syarat Wasiat



Pewasiat 

Pewasiat hendaklah seorang yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka dan dengan pilihan sendiri serta pemilik kepada harta yang diwasiatkan.


Penerima Wasiat

Penerima wasiat juga boleh terdiri daripada golongan fakir miskin, ulamak, masjid, sekolah dan sebagainya yang berbentuk umum dan tidak di khususkan, tetapi wasiat tersebut bukan-lah bertujuan maksiat.


Harta yang diwasiatkan

Harta yang diwasiatkan sama ada harta alih atau tak alih atau manfaat yang bernilai di sisi syarak, boleh dipindah milik selepas kematian pewasiat dan wujud dalam milikan pewasiat (jika ditentukan) atau wujud semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan).


Ijab dan Qabul

Sighah (Ijab dan Qabul) wasiat boleh berlaku sama ada secara sarih atau kinayah dan sama ada melalui lisan, tulisan atau isyarat.


Rujukan :
Hibah & Wasiat : Analisis Hukum dan Aplikasi di Malaysia
Saudara Mohd Zamro Muda, UKM

Tiada ulasan: