Memaparkan catatan dengan label Harta Pusaka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta Pusaka. Papar semua catatan

Ogos 07, 2018

Hibah Hartanah Bercagar

PERBINCANGAN TENTANG HIBAH HARTANAH BERCAGAR


Kampung Sesapan Kelubi, 43700 Beranang, Selangor, Malaysia
Kampung Sesapan Kelubi, Beranang


1. Oleh sebab terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ tentang hibah hartanah bercagar, kita tidaklah boleh mendabik dada mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sepenuhnya.

2. Dakwaan yang mengatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah sah sayugia dilapik dengan kenyataan bahawa ianya sah berdasarkan mazhab Maliki dan Hanafi.

3. Walau bagaimanapun hibah hartanah bercagar adalah tidak sah bagi mazhab Syafie, dan Hambali.

4. Perkara ini menjadi lebih kelabu apabila badan perundangan di negara kita juga lembab dalam menangani isu hibah ini.

5. Kita tiada contoh statut hibah untuk digunapakai di negara kita baik dalam bentuk akta mahupun enakmen.

6. Nampaknya pemimpin politik di negara kita lebih suka mencari glamour dalam isu perundangan Islam yang lain seperti Akta 355, dan pelaksanaan hukuman hudud dan qisas yang terlalu komplikated teknikalitinya.

7. Saya juga tertanya-tanya apalah sangat istimewanya hibah takaful sehingga ia disebut dalam statut secara jelas, walhal hibah hartanah bercagar juga tidak kurang pentingnya.

8. Pengkanunan undang-undang dalam hal ini patut menjadi prioriti pemimpin Islam di negara kita hari ini.

9. Kita juga tidak boleh berpegang kepada keputusan mahkamah syariah semata-mata kerana nature keputusan mahkamah syariah itu tidak mengikat hakim syarie yang lain.

10. Setiap hakim syarie bebas untuk berijtihad dalam setiap kes yang dibawa di hadapan mereka, tanpa terikat dengan keputusan hakim syarie yang lain.

11. Jadi, hakim syarie adalah selama-lamanya bebas sama ada mahu mengikut mazhab yang mana yang dirasakan lebih adil kepada pihak-pihak dalam memutuskan kes di hadapan mereka, selagi tiada statut yang mengikat tangan dan kaki mereka.

12. Tidak ada konsep judicial precedent di mahkamah syariah, tidak seperti yang diamalkan di mahkamah sivil.

13. Setakat ini, para mufti di negara kita juga belum mengeluarkan apa-apa fatwa mengenai hibah hartanah bercagar bagi panduan kita.

14. Saya tidak suka mengkritik para mufti yang saya hormati.

15. Jadi, saya menyokong sebarang usaha dari mana-mana pihak supaya boleh menerangkan kepada para mufti tentang peri pentingnya fatwa mengenai perkara ini.

16. Kalau permainan Pokemon-Go pun kita ada panduan, apatah lagi tentang hibah hartanah bercagar yang pastinya lebih dan teramat penting panduannya untuk kita.

17. Dari segi pemain industri dalam bidang ini, hanya Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja yang terlebih berani mempromosikan produk hibah hartanah bercagar.

18. Alasan mereka mungkin untuk menggalakkan masyarakat muslim menggunakan produk hibah hartanah bercagar sebagai alternatif terbaik bagi solusi perancangan pusaka umat Islam.

19. Institusi-institusi lain seperti Amanah Raya Berhad, as-Salihin Trustee Berhad, MyAngkasa Amanah Berhad, dan lain-lain masih memilih untuk tidak menyediakan produk hibah hartanah bercagar.

20. Alasan mereka adalah mungkin kerana produk hibah hartanah bercagar masih mengandungi risiko untuk tidak disahkan oleh mahkamah syariah menjadikannya satu produk yang tidak berkuatkuasa.

21. Apa pun alasan mereka baik yang wujudkan produk, atau yang tidak wujudkan produk berkaitan hibah hartanah bercagar, saya amat menghormati keputusan panel-panel syarie syarikat-syarikat amanah gergasi ini.

22. Para peguam syarie sememangnya bebas untuk menyediakan dokumen tentang hibah hartanah bercagar.

23. Peguam syarie tidak perlu lancar apa-apa produk.

24. Perkhidmatan peguam syarie adalah berdasarkan arahan anakguam selepas dinasihati oleh peguam syarie.

25. Harapnya peguam syarie selepas ini boleh memberikan nasihat yang wajar kepada anakguam mereka tentang hibah hartanah bercagar.

26. Saya secara peribadi menyokong agar dokumentasi hibah hartanah bercagar ini digalakkan berdasarkan situasi masyarakat Islam akhir zaman sekarang yang boleh dikatakan tidak boleh lepas dari membuat hutang dalam membeli hartanah.

27. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu dicelikkan tentang status khilaf ulama’, dan status perundangan di negara kita sebelum hibah hartanah bercagar didokumenkan supaya pemberi dan penerima hibah benar-benar faham akan kedudukan dan kesan hibah hartanah bercagar.

28. Dalam sesuatu isu yang khilaf, saya berpendapat, kita hendaklah bertindak dan memilih pandangan ulama’ yang bersesuaian dengan keadaan masa dan juga tempat kita agar dapat mengelakkan berlaku permasalahan terutama dalam masalah harta terbeku.

29. Mungkin juga pihak institusi kewangan sebagai pemegang cagaran boleh memperkenalkan satu mekanisma berbentuk keizinan kepada pemilik harta untuk membenarkan pemilik harta/pencagar membuat perancangan dan pengurusan ke atas hartanah bercagar melalui instrument hibah.

30. Para ahli akademik, dan pendakwah hendaklah terus berjihad dalam memberi kefahaman kepada masyarakat Islam tentang kepentingan perancangan dan pengurusan harta secara adil tanpa kepentingan mana-mana pihak.

31. Pihak-pihak yang mempunyai kuasa, gunakanlah kuasa yang ada bagi mencerahkan kekelabuan isu hibah hartanah bercagar ini.

32. Kelompangan undang-undang dalam isu hibah hartanah bercagar ini perlu diatasi sesegera mungkin.

AHMAD TERMIZI ABDULLAH (Penulis)

#hibahhartanahbercagar

Nota: Tuan Ahmad Termizi Abdullah adalah salah seorang rujukan saya dalam bab Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia. Saya menghormati beliau. Post ini bertujuan untuk rekod dan rujukan pada masa hadapan.

Julai 11, 2018

Bagaimana Wasiat Terbatal

ADAKAH WASIAT AKAN TERBATAL SEKIRANYA WARIS TIDAK BERSETUJU DENGAN WASIAT?


Secara jelas yang perlu kita fahami, cara pengagihan harta pusaka melalui Wasiat masih tertakluk kepada Faraid. Memang ada sebahagian Pewasiat yang menyatakan hasrat pengagihan harta mereka dalam Wasiat dengan tidak mengikut faraid. Namun selepas Pewasiat meninggal dunia, waris-waris berhak untuk tidak bersetuju dengan cara pengagihan tersebut dan boleh menuntut hak mereka mengikut hukum faraid.

Walaubagaimanapun, ini tidak menjadikan Wasiat tersebut terbatal. Wasi yang dilantik dalam Wasiat tersebut masih perlu menjalankan tugasnya, dia masih perlu menguruskan hutang-piutang si mati dan mentadbir harta pusaka sehingga ke pengagihan kepada waris-waris. Cuma cara pengagihannya sahaja yang tak dapat dibuat mengikut hasrat Pewasiat, tetapi diagihkan mengikut hukum faraid.

Sebagai tambahan, apabila seseorang membuat Wasiat, dia memang tidak boleh lari daripada hukum faraid. Malahan di as-Salihin, setiap Wasiat akan terkandung artikel seperti yang dilampirkan di sini. Sekiranya ada Pewasiat yang meminta untuk memadam artikel ini daripada Wasiatnya, as-Salihin dengan secara tegasnya tidak akan mengikut permintaan tersebut.

Nota Tambahan:


Menurut Seksyen 12. Wasiat terbatal. (ENAKMEN WASIAT ORANG ISLAM (SELANGOR) 1999)

Sesuatu wasiat hendaklah menjadi batal jika-

(a) pewasiat menjadi seorang yang tak sempurna akal dan mati dalam keadaan tersebut;

(b) benefisiari mati sebelum pewasiat;

(c) sesuatu yang ditentukan atau manfaat wasiat tersebut telah musnah sebelum kematian pewasiat; dan

(d) pewasiat menarik balik wasiatnya.

contoh-surat-wasiat
Wasiat
BACA: Panduan Menyediakan Wasiat di as-Salihin Trustee Berhad

Perancangan harta pusaka adalah sebagai satu tanda keprihatinan anda terhadap nasib yang bakal menimpa ahli keluarga. Buat-lah dokumen wasiat bertulis agar memudahkan ahli waris kita menguruskan harta peninggalan kita di masa hadapan.

Kepada ahli waris, hormati-lah hasrat Pewasiat dalam pesanan dan hasrat beliau, usah persulitkan urusan agihan harta pusaka. Semoga ada keberkatan.

Januari 16, 2018

Cerita Pendek Cabaran Sebagai Perunding Harta Pusaka.

Kerjaya sebagai perunding harta pusaka ini bukan-lah tugasan yang mudah. Ada masanya menyeronokkan berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada masanya, pening kepala kita dibuatnya. 😄 Ia pengalaman yang berharga dan tidak ramai orang dapat merasainya.


Cabaran Sebagai Perunding Harta Pusaka di Malaysia


Fact-finding. Bukan semua orang mahu bercerita tentang ahli keluarga mereka. Ada yang gembira, ada yang sedih, ada yang prihatin, ada yang buat tak tahu ajer dan ada juga yang mengelirukan! 

Ok, begini, ada banyak instrumen pengagihan harta yang boleh kita gunakan, malam ni aku nak cerita tentang instrumen Wasiat.

Wasiat adalah dokumen bertulis yang menyatakan hasrat agihan 1/3 harta kita kepada BUKAN ahli waris kita atau untuk urusan kebajikan seperti berwakaf. Ia juga adalah hasrat kita tentang bagaimana harta kita hendak diagih uruskan selepas kita tak ada. Selain itu, yang paling penting adalah senarai HUTANG2 kita yang perlu dijelaskan bila kita sudah tiada nanti. Dari sumber mana nak bayar hutang ? Siapa yang nak bayar ? Anak ? Isteri ? Emak ? Abah ?

Dalam dokumen itu-lah kita akan lantik Wasi iaitu pentadbir yang akan mewakili kita mengagihkan harta pusaka kita kepada ahli waris. Kalo tak ada pentadbir macam mana? Boleh jer lantik Pentadbir, tak ada masalah, cuma, masalah yang mungkin akan timbul adalah kesefahaman ahli waris untuk menguruskan harta pusaka simati. Selalunya ahli waris akan fikir berapa dia dapat dari harta simati, ada dia pikir berapa hutang si mati yang belum di bayor? ilekkkk ! Kalo ada pun jarang-jarang ataupun, tak tahu or buat2 tak tahu. 

Di dalam dokumen Wasiat tu, parts yang paling penting adalah HUTANG, ingat ya. (Ada 8 kandungan penting dalam dokumen tu, malam ni aku share 1 dulu). Aku selalu ingatkan diri aku agar hutang2 perlu dijelaskan segera. Begitu juga nasihat yang sama aku berikan kepada prospek dan client. Jika ada baki harta selepas agih kepada ahli waris, wakafkan-lah ia untuk saham akhirat yang akan membantu kita disana nanti. Insya Allah. 

Buat wasiat ni banyak manfaatnya, ia memudahkan urusan ahli waris dan juga urusan kita di sana hendaknya. Contoh banyak dalam drama TV tu, kerana tanah sekangkang kera, habis lebur porak peranda dibuatnya. Kalo dulu tak tahu, sekarang mike dah tahu lepas baca cerita pendek ni, so, moh ler kita start deraf wasiat kita yer. Paling tidak pun share-lah post ini dengan kawan-kawan. Sebab masih ramai lagi di luar sana yang tak tahu tentang pentingnya perancangan harta pusaka. 

HUTANG no #1 perlu dijelaskan. Ingat tu yeop, jangan kata teman tak khabor mike !

Ok-lah, itu sahaja untuk malam ini. 

Wallahu a'lam

April 05, 2017

Pentadbiran Harta Pusaka Tidak Berwasiat

Bagaimana Pentadbiran Harta Pusaka Bagi Mereka Yang Tidak Berwasiat Diuruskan?





Terdapat beberapa langkah yang perlu dikenal pasti. Ahli waris perlu menyediakan dokumen sokongan yang diperlukan seperti dibawah.


Berikut adalah senarai tugas yang pihak kami di as-Salihin Trustee jalankan:


  • Mengenalpasti aset dan liabiliti simati samada di Malaysia atau luar negara
  • Mengenalpasti orang yang berhak ke atas harta pusaka
  • Memohon sijil Faraid daripada pihak yang berkuasa
  • Mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir
  • Membayar hutang
  • Menguruskan urusan cukai dan liabiliti
  • Mengagihkan harta pusaka kepada benefisiari mengikut Faraid
  • Menyediakan semua akaun serta dokumen yang berkaitan

Dokumen sokongan yang diperlukan:
  • Salinan asal sijil kematian
  • Salinan kad pengenalan ahli waris
  • Salinan sijil pendaftaran perkahwinan / perceraian
  • Salinan hak milik aset alih dan tidak alih
  • Salinan dokumen hutang simati eg bank, kad kredit, perjanjian jual beli, dll.
Jika anda perhatikan senarai diatas, dapat kita lihat urusan pentadbiran selepas berlaku kematian bukanlah perkara mudah. Ia memerlukan masa, tenaga, wang, emosi dan pengorbanan. 


Nota Tambahan:



  • Fi tambahan kemungkinan akan dikenakan sekiranya ada penambahan caj contohnya Cukai Kerajaan cukai perkhidmatan seperti GST, duti setem, Perbelanjaan dan Fi pihak ketiga seperti Fi Guaman, Pengurus Dana, Agen Hartanah dan Agen Cukai. 
  • Fi Pentadbiran Tahunan Harta Pusaka akan dikenakan oleh as-Salihin Trustee Berhad (aST) secara keseluruhan apabila Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan.
  • Nilai Kasar Harta adalah jumlah keseluruhan aset perseorangan termasuk Harta Alih dan Harta Tak Alih sebelum liabiliti ditolak contohnya seperti hutang dan cukai. 
  • Secara keseluruhannya, Harta Tak Alih akan dinilai hanya sekali sahaja pada masa as-Salihin mentadbir harta iaitu pada tarikh Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan. 

  • Dengan membuat perancangan harta pusaka lebih awal, ia akan memudahkan urusan ahli waris dan diri kita di 'masa hadapan'.

    Mati itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. 

    Ogos 19, 2015

    Pengurusan Harta Pusaka Kecil


    Definisi 'Harta Pusaka Kecil'.


    Harta pusaka kecil merupakan harta peninggalan simati tanpa wasiat yang mempunyai ciri-ciri berikut :


    • Harta itu terdiri daripada Harta Tak Alih/Tanah sahaja atau Harta Tak Alih/Tanah dan Harta Alih seperti wang tunai, saham, barang kemas,  caruman KWSP, wang simpanan, kenderaan, apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67] dan sebagainya.
    • Jumlah nilaian harta keseluruhannya tidak melebihi RM 2,000,000.00 pada tarikh permohonan dibuat.



    Pemohon perlu menyediakan dokumen seperti berikut :


    Bukti Pemilikan Harta


    • Salinan dokumen harta alih - seperti salinan sijil saham, salinan penyata akaun, buku akaun simpanan, salinan hak milik kenderaan dan sebagainya.
    • Dokumen harta tak alih - seperti Salinan Hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah atsu Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih oleh simati atau Perjanjian Jual Beli bagi bangunan/rumah yang belum ada hakmilik berasingan.


    Bukti Kematian


    • Sijil kematian/Permit menguburkan.
    • Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur. Perintah ini hsnya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.



    Nota Penting


    • Semua dokumen asal bagi bukti kematian, hak milik tanah, kad pengenalan, surat nikah, surat beranak, bukti pemilikan harta alih dan lain-lain dokumen sokongan hendaklah dibawa semasa perbicaraan.
    • Semua keterangan semasa perbicaraan akan direkodkan secara bersumpah.
    • Semua pihak yang dinyatakan di dalam notis perbicaraan dikehendaki hadir pada hari perbicaraan yang ditetapkan.

    Sumber rujukan : Portal Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian. 

    April 01, 2015

    Perancangan Harta Pusaka Islam

    Berikut Adalah Keperluan & Kelebihan Perancangan Harta Pusaka Islam





    • Pasangan yang mempunyai ANAK PEREMPUAN sahaja, adik-beradik suami / isteri dapat mewarisi harta mengikut HUKUM FARAID.
    • Lelaki yang BERPOLIGAMI, sangat digalakkan dan sebaik-baiknya membuat DEKLARASI HARTA SEPENCARIAN / Perjanjian Aset Perolehan Bersama
    • Mu'alaf boleh memberi 1/3 bahagian harta kepada ahli keluarga yang bukan beragama Islam.
    • Pasangan yang tiada ANAK, baki harta diwarisi adik-beradik suami / isteri mengikut HUKUM FARAID. Sekiranya ada anak angkat, apakah cara yang terbaik untuk mengagihkan harta ?
    • Mempunyai anak angkat / anak tiri / cucu, tanpa Wasiat mereka TIADA hak dalam FARAID.
    • Pemberian HIBAH semasa hidup tidak termasuk di dalam bahagian pusaka dan tidak tertakluk kepada HUKUM FARAID.
    • Lantik Wasi / Pentadbir Harta Pusaka anda hari ini untuk kemudahan esok hari.
    • Dokumen wasiat yang terakhir adalah yang terpakai - valid dan berkuatkuasa setelah kematian si pewasiat. Dokumen tersebut akan mewakili si pewasiat mengurus agih harta pusaka kepada ahli waris secara legal. 

    Kami mengalu-alukan pertanyaan dan sedia membantu meringankan beban atau kemusykilan yang anda hadapi. 

    Kongsikan ilmu ini dengan ahli keluarga, jiran-jiran dan kawan-kawan. 

    Dapatkan khidmat nasihat perancang harta pusaka Islam berdekatan anda atau hubungi kami untuk temujanji & maklumat lanjut hari ini.

    Ambil peluang ini dengan bertanya - Biar tahu jangan keliru, usah bertangguh ! 

    Terima kasih :)

    Khaidir Zakaria
    Islamic Estate Planner
    PUTRAJAYA